Assisting Lawyers

Have a query? Call the Helpdesk
PI & RM: +603-2050 2001
BCM General Line: +603-2050 2050
Marsh Insurance Broker: 
     +603-2723 3241 /3388
Font size
  • small text
  • medium text
  • large text

Dari Peguam Cemerlang Ke Pemimpin Berkesan

Akhmed telah diterima masuk ke Badan Peguam lima tahun yang lalu dan dengan cepat telah memperolehi reputasi sebagai peguam yang berdedikasi dan cemerlang.  Majikannya menilai dia dengan baik, dan memuji kemahiran penulisan dan pengetahuan undang-undangnya.
 
Walaupun Akhmed tidak menghadiri urusan mahkamah, advokasinya dalam perundingan dan penyampaian idea tiada tandingannya.
 
Selepas dua tahun, Akhmed dinaikkan pangkat menjadi ketua jabatan firmanya.  Namun demikian, enam bulan kemudian, dia menerima surat tunjuk sebab yang mengakibatkannya meletak jawatan.
 
Sejak itu, peluang tidak datang seperti sebelumnya.  Dia kini mengamal undang-undang dalam persekitaran yang biasa-biasa sahaja, bergelut untuk memahami apa yang tersalah.
 
Suatu ketika dahulu, Akhmed adalah pekerja yang dicari-cari semua dan berminda cemerlang, tetapi akhirnya berada dalam situasi yang kurang ideal.
 
Pernahkah anda terfikir apa yang terjadi kepada pelajar-pelajar terbaik dalam kalangan rakan-rakan anda?  Di manakah mereka sekarang?  Adakah mereka menjadi orang yang anda bayangkan? Ia adalah soalan yang sering bermain dalam fikiran orang ramai.
 
Adakah mereka berakhir seperti Akhmed?  Kritikan konvensional mungkin menilai Akhmed sebagai terlalu muda dan kurang pengalaman untuk jawatan itu dan telah naik pangkat terlalu pantas.
 
Adakah itu sebab yang sebenar? Adakah tiada sesiapa pun yang layak mencapai kejayaan pada usia muda?
 
Kisah Akhmed mengetengahkan satu isu penting dalam profesion guaman, iaitu keperluan untuk belajar dan membina kemahiran.  Semua kebimbangan pengkritik dan risiko yang dipertimbangkan boleh diatasi dan diselesaikan melalui pembangunan kemahiran yang tepat.
 
Kemahiran ini tidak diajar di universiti atau dipupuk semasa proses mempelajari undang-undang.  Kemahiran ini adalah berunsur ekstrakurikulum dan boleh diperolehi melalui penglibatan dalam aktiviti pelajar, sosial, dan khidmat masyarakat sepanjang tempoh di universiti.
 
Kesedaran tentang kepentingan penglibatan dalam semua aktiviti ini boleh membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk usaha masa depan , kerana proses pembelajaran bermula melalui interaksi dan pemerhatian.
 
Bagi Akhmed, masalahnya bermula selepas dia dilantik ke jawatan pengurusan.
 
Akhmed kurang kemahiran kepimpinan yang diperlukan dan dia memulakan perjalanan kepimpinan dengan menerapkan sifat, budaya kerja, dan pemahamannya tentang bagaimana sesuatu sepatutnya berfungsi ke dalam peranan barunya tanpa mengambil masa untuk mempelajari persekitaran, budaya kerja, dan cara sesuatu dilaksanakan yang sedia ada.
 
Semua ini mengundang rintangan.  Sifat manusia cenderung menolak perubahan kerana membawa ketidakpastian dan cabaran di mana kedua-duanya memerlukan individu terbabit keluar dari zon selesa mereka.
 
Mengatasi rintangan sedemikian memerlukan kemahiran pengurusan atau kepimpinan.
 
Dahulunya, sesetengah pengamal senior mengamalkan gaya kepimpinan diktator atau seperti mafia, lantas mewujudkan suasana ketakutan untuk mengekalkan kawalan.  Gaya pengurusan ini sesuai jika seorang peguam lebih suka bergantung pada kemampuan, kredibiliti, kesihatan, dan situasi yang menyebelahi mereka sendiri, dari bermulanya pengamalan sehingga persaraan atau penutupan firma.
 
Jika ideal di atas diterima sebagai tidak realistik, gaya pengurusan yang berbeza perlu diambil dan sistem baru perlu diperkenalkan untuk mewujudkan amalan yang mampan dan cekal.
 
Kepimpinan yang baik melibatkan pemahaman tentang kelebihan dan motivasi mereka yang bekerjasama dengan anda.  Ia memerlukan empati, komunikasi, dan keupayaan untuk merangsang inspirasi dan membimbing pasukan anda ke arah matlamat yang sama.  Matlamat ini mesti terlebih dahulu ditetapkan sebelum bergerak hadapan.
 
Kepimpinan yang baik adalah berdasarkan beberapa prinsip asas.
 
Pertama, seseorang pemimpin itu mesti sedar diri, dan faham kelebihan dan kelemahan tersendiri.  Ini membolehkan mereka memimpin secara tulen dan dengan keyakinan.
 
Kedua, komunikasi yang berkesan adalah penting.  Seseorang pemimpin itu mesti menyampaikan visinya dengan jelas dan mendengar maklum balas serta kebimbangan pasukannya.
 
Ketiga, empati membolehkan pemimpin berhubung dengan pasukannya pada peringkat peribadi, sambil menggalakkan kepercayaan dan kerjasama.
 
Keempat, seseorang pemimpin itu mesti mampu menyesuaikan diri dengan landskap undang-undang yang sentiasa berubah untuk menangani cabaran baru yang muncul.
 
Akhir sekali, seseorang pemimpin itu mesti bertindak secara beretika, telus dan mengekalkan kepercayaan pasukan dan anak guamannya.
 
Dalam masyarakat kita, berapakah bilangan peguam yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif?  Mengapa begitu?
 
Saya percaya bahawa bertanya soalan yang betul adalah kemahiran yang diperlukan untuk maju, dan menyuarakan soalan adalah salah satu kunci untuk memperolehi pengetahuan.
 
Jesteru, mengapakah peguam tidak dipertimbangkan untuk tahap pengurusan C-suite?
 
Peguam perlu memulakan perbualan menggunakan lingua industri.  Peguam sering diberitahu untuk berkomunikasi dalam bahasa kebanyakan kerana bahasa kepeguaman tidak mudah difahami oleh orang ramai.  Ini kerana kita cenderung berkomunikasi seperti itu dalam industri masing-masing.
 
Untuk diiktirafkan setara dengan tahap C-suite memerlukan pemahaman lingua C-suite terkini yang perlu dipelajari.
 
Sebagai contoh, pengurusan dan pengekalan bakat.  Dengan mengenal pasti dan memupuk bakat, firma guaman boleh membina tenaga kerja yang berdaya dan berkemampuan.  Penggunaan perkataan "bakat" berbanding "sumber manusia" membawa maksud objektif dan hasil yang berbeza.
 
Bagaimanakah seseorang peguam itu boleh mempelajari dan menguasai peranan kepimpinan mereka?
 
Selain daripada mengambil pengajian pascasiswazah seperti Sarjana Pengurusan Profesional, atau Sarjana Pentadbiran Perniagaan, atau kursus pascasiswazah yang selandasan, salah satu pendekatan yang berkesan adalah dengan mencari petunjuk daripada pemimpin berpengalaman yang telah melalui situasi yang sama.
 
Terdapat firma dan pemimpin dalam industri undang-undang yang telah memulakan perjalanan ini namun tidak dikenali ramai oleh kerana berbilangan kecil.  Kenalilah dan mohon petunjuk daripada mereka.
 
Selain itu, penyertaan dalam program latihan kepimpinan dan bengkel yang dianjurkan oleh Majlis Peguam di bawah Jawatankuasa Indemniti Profesional dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko boleh melengkapkan peguam dengan kemahiran dan strategi praktikal untuk memimpin dengan berkesan.
 
Selain daripada itu, bentukkanlah forum di mana perbincangan boleh menjadi lebih ekonomik dan belajar antara satu sama lain untuk menghasilkan komuniti yang kuat yang berfokuskan kecemerlangan.
 
Keseimbangan kehidupan bekerja adalah penting jika seseorang peguam memutuskan untuk mempelajari kemahiran ini.  Peguam mesti mengurus masa mereka dengan berkesan, mengimbangkan tanggungjawab profesional dengan kesejahteraan peribadi mereka.  Bekerja secara berlebihan boleh menyebabkan keletihan, yang kemudiannya boleh menjejaskan prestasi dan kebolehan membuat keputusan.  Dengan mengutamakan penjagaan kendiri dan menetapkan had, seseorang pemimpin itu boleh mengekalkan tenaga dan fokus.
 
Kisah Akhmed berfungsi sebagai peringatan tentang pentingnya membangunkan kemahiran kepimpinan.  Kekurangan kemahiran pengurusannya menyebabkan kejatuhan walaupun Akhmed adalah seorang yang cemerlang dan berdedikasi.  Peguam, seperti mana-mana profesional untuk industri lain, perlu mengenali nilai kepimpinan yang baik dan berusaha membangunkan kemahiran ini selaras dengan pemahaman undang-undang mereka.
 
Perjalanan untuk menjadi pemimpin yang terbilang adalah perjalanan yang berterusan, memerlukan dedikasi, kesedaran diri, dan komitmen untuk pembelajaran dan pembaikan berterusan.  Pengalaman Akhmed menekankan keperluan untuk peguam menerima prinsip-prinsip ini, untuk memastikan persiapan untuk memimpin pasukan dan mencapai matlamat profesional.

Nota: Watak yang digambarkan dalam artikel ini adalah rekaan sepenuhnya dan sebarang persamaan dengan orang sebenar, hidup atau mati, adalah kebetulan semata-mata.  Sebarang persamaan dengan individu atau peristiwa sebenar adalah tidak disengajakan.